​PEMAKNAAN “BERJIWA RAKYAT” DAN NASIONALISME – OLEH HADRI SHAH

​Pemaknaan “berjiwa rakyat” sama maksudnya dengan nilai pemaknaan nasionalisme.
Sudah rasanya tidak nyaman apabila kita tidak mengakui siri sebagai seorang nasionalis, lagi lagi dalam praktis-praktis harian yang tidak bersulam patriotis. Bimbang saja dikenali sebagai petualang, atau tidak bersikap bangga akan keberkatan nasional.

Sifat nasionalis diulang ulang sehinggakan menjadi intipati penting dalam tubuh badan seseorang. Kerana dengan itu, nasionalis dan patriotis itu dilihat mensejahterakan.

Beli barangan buatan nasional misalnya antara definasi seorang nasionalis. Bangga dengan produksi barangan lokal. Dengan mengkomsum barangan lokal itu adalah caranya mensejahterakan ekonomi negara. Itulah yang mereka bilang. Itulah yang diajarkan negara-bangsa. 

Tetapi, soalan paling fundamental, siapa sebenarnya yang disejahterakan? Pembeli, pekerja di bahagian produksi atau pemilik produksi? 

Sama juga halnya dengan definasi nasionalis apabila mempertahankan sebuah parti berbasiskan bangsa. Kebimbangan jelas terpancar apabila andai tidak dijaga parti yang memperjuangkan nasib bangsa maka besar kemungkinan nasib bangsa itu boleh berantakan, pupus ditindas bangsa lain. 

Apa benar begitu?
Setiap kali pertabalan agung atau sultan dan raja, masyarakat disebar momokan agung ini baiknya begini, sultan itu alimnya begitu, raja itu pula zuhud peribadinya. Maka yang dipertontonkan kepada masyarakat adalah sifat sifat peribadi paling mulia dan mereka tersuci kerana darah kuning mereka seringkali diceritakan memiliki jiwa seperti seorang rakyat biasa.

Cuba ingatkan kembali, sultan negeri manakah yang tidak pernah dikatakan tidak berjiwa rakyat? 

Rasanya seperti tidak pernah ada bukan? Semuanya berjiwa seperti kita; berjiwa seorang rakyat biasa. Kononnya.
Hanya kerana kasut seliparnya, hanya kerana dia bersama kita di saf hadapan ketika solat subuh, hanya kerana dia lebih gemar makan nasi bungkus, hanya kerana dia menaiki basikal tua mengelilingi kampung bertemu rakyat jelata, hanya kerana dia datang secara tiba tiba bermotosikal kapcai ke kawasan kampung, hanya kerana dia menaiki bot tatkala memenuhi tuntutan jadualnya melawat kawasan banjir, hanya kerana dia berbicara soal rasuah dan ketirisan dalam pentadbiran nasional – mudah sekali anggapan kita; itulah dia, seorang raja berjiwa rakyat.

Dan seolah satu ajaran penting, dari satu mulut ke mulut lain, kita berbisik kepada rakan taulan bahwa inilah dia sang sultan yang akan memihak kepada kita. Inilah sultan pemimpin dunia-akhirat kita. 

Akhirnya, seluruh masyrakat mengakui raja itu mempunyai peranan penting dalam kehidupan mereka, sedangkan mereka lupa, institusi monarki bernyawa atas usaha keras kederat kelas masyarakat pada setiap jam, pada setiap hari. Mereka lupa yang membiayai raja adalah mereka sendiri. 

Lalu bagaimana seorang pemimpin dikatakan memayungi rakyatnya hidup bermewah mewahan dibawah biayaan jutaan rakyat?
Mereka juga lupa, raja, si pemimpin yang mereka agungkan sangat itu tidak dipilih mereka, malah monarki mencurangi sifat demokrasi, tidak dipilih majoriti rakyat. Mereka (golongan monarki)  ditabal kerana darah kesultanan yang mengalir dalam batang tubuh.

Inilah maksud hegemoni seperti yang Gramsci syarahkan. Ia adalah satu bentuk pendominasian dari satu individu ke atas kumpulan masyarakat. Ini adalah prinsip terancang; kepercayaan yang mempengaruhi struktur sosial yang mengukuhkan status quo.

Status Quo disini ialah monarki,terdiri dari sultan, raja , agung dan kaum kerabatnya. Masyarakat percaya, kaum monarki mesti ada kerana siapa yang akan menjaga nasib bangsa, nasib agama tanpa monarki? 

Sehinggakan kita mempercayai bulat-bulat tanpa Sultan, bangsa kita menjadi tidak tentu arah, hilang pedoman hidup. Setiap gerak geri, tingkah laku, pemikiran kita secara tidak langsung dipenjara di balik jeriji-jeriji feudal. 
Sedarkah masyarakat terpalit feudal, sultan,agung, raja dan kaum kerabatnya di negara ini tidak pernah diaudit perbelanjaan mereka? Tidak pernah sekali pun urusan, pentadbiran mereka dijelaskan secara detail kepada publik? 
Bukankah ini hak kita untuk mengetahui perbelanjaan mereka, apa yang mereka buat, apa yang belum lagi mereka laksanakan?

Yang kita dengar dan lihat saban tahun ialah, ucapan-ucapan lapuk mereka 

“melayu harus bersatu, kembali kepada agama, quran dan sunnah”. 

Mereka mungkin menaiki motor masuk ke kampung-kampung tapi mereka jugalah yang memiliki seleksi kereta mewah dan lori Transformer. Mereka mungkin kelihatan zuhud, tapi lihat sendirilah kediaman mereka di Jalan Duta. Mereka memberi sokongan terhadap perlaksanaan hukuman hudud tapi ironinya mereka membiarkan perampasan tanah orang asal. Cara hidup mereka sama sekali berbeza dengan kelas masyarakat, mereka tidur nyenyak di mahligai mewah,sedangkan ramai yang tidak berumah, tidur di bawah dataran masjid.

Itukah maksudnya “Sultan berjiwa rakyat?”
Di perenggan pertama menyaksikan kenyataan persamaan antara erti nasionalisma dan baris ayat ” sultan berjiwa rakyat”.

Ertinya,

Nasionalisma penting buat kaum elit-borjuis demi keamanan kepentingan politik, sosial ekonomi. Manakala “sultan berjiwa rakyat” penting untuk menjaga status quo, juga menjaga kebajikan politik, struktur sosial-ekonomi monarki.

Cuma yang menyedihkan baris ayat “sultan berjiwa rakyat” diseru seru sendiri oleh masyarakat kelas biasa. 
Nyatalah, masyarakat sendiri yang tidak mahu membebaskan diri mereka dari perhambaan sejak zaman jurasik lagi.
-By Hadri Shah-
CukongPress akan kongsi apa-apa sahaja artikel ilmiah dan bagus di kongsi bersama,dan tidak akan bertanggungjawab jika ada keceluparan penulis,kata-kata kesat dan pujian pujian di tuju sesiapa.Terima kasih

Advertisements